SOAL JAWAB LAZIM (FAQ) MELINDUNGI MASA INSTRUKSIONAL
Melindungi Masa Instruksional (MMI) Kembali
Kepada Yang Asas: Pemimpin Instruksional, Guru Mengajar dan Murid Belajar
PENDAHULUAN
Buku Panduan Soal Jawab Lazim (FAQ)
adalah bertujuan untuk merungkai dan menjelaskan segala kekeliruan dan
ketidakjelasan maklumat yang berkaitan dengan amalan Melindungi Masa
Instruksional (MMI) kepada semua warga pendidikan di seluruh negara. Pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa cuba membantu dan memberikan pemahaman agar
segala amalan yang terkandung di dalam surat siaran, surat pekeliling ikhtisas,
Akta Pendidikan 1996 dan pekeliling-pekeliling lain diketahui oleh guru-guru di
sekolah. Soal jawab lazim yang dimasukkan ke dalam buku panduan ini akan cuba
mengupas dan menjawab semua soalan yang sering dikemukakan oleh pihak sekolah
dan guru sepanjang amalan MMI dilaksanakan mulai tahun 2012.
SOALAN
DAN JAWAPAN
MMI ialah singkatan bagi rangkai kata
Melindungi Masa Instruksional (MMI) yang memberikan penekanan semula kepada
amalan sedia ada iaitu kembali kepada yang asas ‘Guru Mengajar dan Murid
Belajar’. Masa Instruksional ialah masa sebenar yang digunakan untuk
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) seperti yang termaktub dalam Akta
Pendidikan 1996 (Akta 550) dan aktiviti lain yang menyokong usaha untuk
membangunkan potensi murid dengan berkesan tanpa sebarang gangguan.
MMI tidak meminggirkan mana-mana elemen
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu melahirkan insan
yang cemerlang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Rujukan
boleh dilakukan menerusi Seksyen 18 (2) - Akta 550 yang berkaitan dengan
Kurikulum Kebangsaan hendaklah
digunakan oleh semua sekolah. Perincian boleh dirujuk menerusi Peraturan-
Peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997 dan bagi kokurikulum boleh
merujuk kepada perkara 2 tentang tafsiran: “kegiatan kokurikulum” ertinya
apa-apa kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah yang memberikan murid peluang untuk menambah,
mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di
bilik darjah.
2.
Adakah MMI satu dasar baharu?
MMI bukan satu dasar baharu Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM). MMI ialah amalan warga pendidik sejak sistem
pendidikan negara dibangunkan, iaitu penekanan pada konsep guru mengajar dan
murid belajar. Oleh yang demikian, MMI diberikan penekanan semula oleh pihak
KPM.
3.
Perlukah jawatankuasa ditubuhkan bagi menjayakan amalan MMI?
MMI tidak memerlukan penubuhan
jawatankuasa baharu. Ia hanya perlu dibincangkan sebagai salah satu agenda
dalam Jawatankuasa Kurikulum atau mesyuarat-mesyuarat lain yang berkaitan.
4.
Pihak manakah yang berperanan dalam memastikan MMI diamalkan?
Semua pihak di peringkat Bahagian KPM,
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah
memainkan peranan dalam memastikan MMI disebarluaskan dan diamalkan. Dalam hal
ini, agensi luar, masyarakat dan ibu bapa juga harus diberikan penjelasan dalam
membantu pelaksanaan MMI.
5.
Apakah faedah MMI kepada murid?
Murid akan mendapat masa pembelajaran
yang maksimum dan berkualiti jika MMI diamalkan dengan berkesan di sekolah.
Sekiranya murid tidak dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada
waktu rasmi persekolahan maka ia wajib dilaksanakan pada masa dan kaedah lain
yang sesuai.
6.
KPM amat menggalakkan kerjasama dengan pihak luar. Sekiranya agensi tersebut
ingin melaksanakan program dan aktiviti pada waktu persekolahan, apakah
tindakan yang perlu diambil oleh pihak sekolah?
Pemimpin sekolah perlu mengadakan
perbincangan dengan mana-mana agensi yang berhasrat untuk mengadakan program
dan aktiviti pada waktu persekolahan serta menjelaskan kepentingan amalan MMI
kepada pihak yang berkenaan. Pihak sekolah perlu menghubungi Unit Perhubungan
dan Pendaftaran JPN bagi mendapatkan kebenaran untuk melaksanakan aktiviti
berkenaan.
7.
Bolehkah guru-guru dibenarkan keluar untuk menyertai sebarang aktiviti dan
program yang diadakan semasa waktu persekolahan?
Boleh, dengan arahan bertulis dan
kebenaran daripada pemimpin sekolah. Walau bagaimanapun guru yang berkenaan dan
pihak pentadbir sekolah perlu mengambil tindakan yang sewajarnya bagi
memastikan waktu PdP yang terjejas itu ada guru ganti (relief) atau mengadakan
aktiviti-aktiviti lain yang sesuai.
Rujukan
boleh dilakukan menerusi Surat Siaran Bil. 20 Tahun 2012: Pelaksanaan Perakuan
Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru bertarikh 27 Jun 2012 di Lampiran C; Perkara No.3 –
Agensi Luar KPM (Penglibatan Guru-guru Hendaklah Tidak Menjejaskan Pengurusan
Sekolah serta Proses PdP)
8.
Saya merupakan ahli pasukan sukarelawan (cth. Ahli Bulan Sabit Merah Malaysia)
yang aktif. Saya telah diarahkan untuk melakukan kerja sukarela membantu negara
semasa ditimpa bencana. Bolehkah saya menyertai aktiviti tersebut?
Pemimpin sekolah perlu membuat pertimbangan
yang sewajarnya berdasarkan arahan, keperluan, kepakaran dan prosedur yang
telah ditetapkan. Namun, keputusan yang diambil mesti tidak menjejaskan hak
murid untuk memperoleh PdP yang berkualiti.
Rujukan
boleh dilakukan menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 24 Tahun 1998:
Penglibatan Guru dan Murid Dalam Aktiviti Pasukan Pakaian Seragam Anjuran Agensi Kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
9.
Sebagai Pengetua/Guru Besar, adakah saya berhak untuk tidak membenarkan
guru-guru saya menyertai aktiviti/program luar jika menerima surat arahan KPM/
JPN/PPD?
Ya, kebenaran ini tertakluk kepada budi
bicara Pengetua/Guru Besar. Walau bagaimanapun, atas prinsip permuafakatan
Pengetua/Guru Besar perlu memberikan kerjasama dan komitmen kepada KPM, JPN serta
PPD dalam menjayakan segala program.
10.
Sekiranya saya tidak dapat melaksanakan PdP atas urusan rasmi, bolehkah saya
menggantikan waktu tersebut di luar waktu persekolahan?
Boleh dengan syarat memperoleh kebenaran
daripada pentadbir sekolah.
11.
Saya telah diarah untuk menjalankan tugas rasmi, adakah perlu saya mengganti
waktu yang telah tertinggal tersebut?
Tidak perlu kerana pihak sekolah akan
menggantikan waktu-waktu tersebut dengan guru ganti (relief) berdasarkan
cadangan amalan terbaik PdP seperti yang dikemukakan dalam Buku Amalan Terbaik
MMI keluaran tahun 2013. Namun, guru boleh membuat lelongan jadual waktu
sebelum atau selepas melaksanakan tugas rasmi tersebut.
12.
Adakah pihak Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di sekolah terlibat dalam
pelaksanaan MMI? Contohnya pembantu makmal.
Semua pihak perlu mempraktikkan amalan
MMI di sekolah mengikut tugas dan tanggungjawab masing-masing.
13
Adakah amalan MMI akan menghalang kemenjadian murid dalam bidang kokurikulum
dan akademik?
Tidak, kerana kegiatan kokurikulum
merupakan sebahagian daripada proses PdP. Hal ini bertujuan untuk memberikan
peluang kepada murid untuk menambah, mengukur dan mengamalkan pengetahuan,
kemahiran serta nilai yang dipelajari di dalam bilik darjah. Oleh yang
demikian, kegiatan kokurikulum hendaklah dirancang dengan teratur dan teliti
seperti mana perancangan untuk aktiviti-aktiviti kurikulum serta dilaksanakan
dengan cekap dan berkesan berpandukan akta dan Surat Pekeliling Ikhtisas yang
sedang berkuat kuasa.
14.
Pelaksanaan MMI menyebabkan sekolah tidak boleh mengadakan sebarang bentuk
perayaan seperti Sambutan Hari Guru, Sambutan Hari Kanak-Kanak, Sambutan Hari
Lahir dan Hari Kantin.
Tidak benar. Sekolah masih boleh
mengadakan program sambutan atau aktiviti lain yang difikirkan perlu secara
terancang dan terkawal tanpa menjejaskan PdP.
15.
Adakah perkhidmatan kaunseling pada masa persekolahan dianggap sebagai
sebahagian daripada proses PdP?
Ya, kerana murid boleh mendapatkan
perkhidmatan kaunseling secara individu atau kelompok pada bila-bila masa waktu
persekolahan termasuk semasa waktu PdP.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Siaran KPM Bil 12 Tahun 2012 bertarikh 16 April 2012: Perekayasaan Perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah.
16.
Adakah tindakan disiplin boleh diambil terhadap murid-murid semasa sesi PdP?
Pengetua/Guru Besar boleh menggunakan
budi bicara mengikut tahap keseriusan kes salah laku kerana tindakan disiplin
juga merupakan salah satu proses untuk mendidik.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil 2 Tahun 1981: Ketetapan Masa Di Sekolah-Sekolah
bertarikh 12 September 1981 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 4 tahun 1996:
Pelaksanaan Kuasa Disiplin Dan Hukuman Di Sekolah bertarikh 3 September 1996.
17.
Adakah latihan kebakaran yang dilaksanakan pada waktu sesi persekolahan
mengganggu MMI?
Tidak, kerana latihan kebakaran juga
merupakan satu elemen pendidikan yang perlu dilaksanakan secara terancang
sekurang-kurangnya sekali dalam sepenggal.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil 8 Tahun 1978: Kawad Kecemasan Kebakaran Di Sekolah
bertarikh 23 Jun 1978, Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 12 Tahun 1989: Garis
Panduan Dari Segi Pencegahan Kebakaran Bagi Bangunan Domitori dan Asrama
bertarikh 9 September 1989 dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7 Tahun 2000:
Mencegah Kebakaran Di Sekolah bertarikh 14 Mac 2000.
18.
Adakah kehadiran ibu bapa yang ingin berjumpa dengan guru semasa PdP mengganggu
MMI?
Kehadiran ibu bapa amatlah dialu-alukan
ke sekolah untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka di luar waktu PdP.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 2 Tahun 1981: Ketetapan Masa Di Sekolah-Sekolah
bertarikh 12 September 1981.
19.
Bagaimanakah sumbangan Guru Cemerlang (GC) dan Guru Kaunseling dalam memastikan
keberkesanan MMI?
Pendekatan PdP yang berkesan yang
dilaksanakan oleh GC perlu dikongsi dengan guru-guru lain bagi mengoptimumkan
keberhasilan pembelajaran murid. Manakala sumbangan Guru Kaunseling adalah bagi
memastikan kemenjadian murid. Walau bagaimanapun pelaksanaan PdP GC dan
perkhidmatan Guru Kaunseling tidak seharusnya diganggu.
20.
Bolehkah saya melaksanakan aktiviti PdP di luar bilik darjah?
Boleh, selagi keberhasilan pembelajaran
murid dicapai dan memaklumkannya kepada pentadbir atau memohon kebenaran
sekiranya melibatkan aktiviti di luar sekolah. Hal ini selari dengan aspirasi
murid menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) seperti yang terkandung
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil 11 Tahun 2004: Pelaksanaan Pembelajaran Luar Bilik
Darjah (PLBD)) sekiranya aktiviti dilakukan di luar bilik darjah bertarikh 31
Disember 2004.
21.
Bolehkah sekolah menganjurkan program peningkatan akademik seperti
Seminar/Teknik Menjawab Soalan pada waktu persekolahan?
Boleh, program yang dianjurkan hendaklah
dirancang dengan cekap dan berkesan supaya pelaksanaannya menepati kehendak
kumpulan sasar dan memastikan semua murid serta guru dapat melindungi masa
instruksional yang sepatutnya.
22.
Bolehkah sekolah ganti pada hari Sabtu melaksanakan aktiviti dan program selain
PdP? Contoh dengan mengadakan gotong-royong.
Pelaksanaan sekolah ganti (Sabtu)
sepatutnya mengikut jadual hari persekolahan yang diganti.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 2 Tahun 2012: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
sepenuhnya semasa hari ganti persekolahan pada hari Sabtu bertarikh 25
September 2012.
23.
Bolehkah program kokurikulum/sukan diadakan pada waktu persekolahan sama ada di
peringkat sekolah, daerah, negeri atau kebangsaan?
Boleh, dengan mengambil kira beberapa
perkara seperti memaksimumkan sumber tenaga serta meminimumkan jawatankuasa dan
penglibatan guru. Pelaksanaan kegiatan kokurikulum adalah mengikut tahap dan
hendaklah dijalankan di luar waktu PdP.
Rujukan boleh dilakukan menerusi Buku
Panduan Penilaian Kokurikululm Tahun 2006
24.
Pelaksanaan MMI akan mengurangkan penglibatan guru dalam melaksanakan aktiviti
sukan/kokurikulum di peringkat PPD/JPN/Kebangsaan.
Guru tidak dihalang untuk menyertai
aktiviti sukan/kokurikulum di peringkat PPD/JPN/Kebangsaan. Namun, mereka perlu
memastikan PdP di dalam kelas yang ditinggalkan dapat dilaksanakan sama ada
secara modul, guru ganti atau lelongan jadual dan apa-apa pendekatan yang
sesuai.
25.
Adakah program lawatan sambil belajar perlu dibatalkan kerana menyalahi amalan
MMI?
Tidak perlu. Berdasarkan Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 5 Tahun 2002 bertarikh 1 Ogos 2002 (Lawatan Sekolah
Pada Hari Persekolahan), pengelolaan lawatan sambil belajar merupakan salah
satu kaedah PdP yang menyeronokkan (learning is fun). Kaedah ini berupaya
memberikan pendedahan secara realiti dan “hands on” terhadap sesuatu mata
pelajaran yang diajar di dalam kelas.
26.
Bolehkah latihan intensif aktiviti sukan/kokurikulum dilaksanakan pada waktu
pagi/PdP?
Pelaksanaan kegiatan kokurikulum adalah
mengikut tahap dan hendaklah dijalankan di luar waktu PdP.
Bagi sekolah rendah dan menengah,
peruntukan masa kokurikulum adalah seperti yang berikut:
i. Tahun 3 & 4: 60 minit seminggu
ii. Tahap 5 & 6: 120 minit seminggu
iii. Kelas Peralihan, Tingkatan 1,2,3
& 6: 180 minit seminggu
iv. Tingkatan 4 & 5: 100 hingga 180
minit seminggu mengikut aliran.
27.
Adakah MMI menyumbang kepada kemerosotan penyertaan aktiviti kokurikulum
disebabkan guru dan murid tidak dibenarkan keluar dan seterusnya menjejaskan
penilaian 10% kokurikulum?
Pelaksanaan MMI tidak mengganggu
penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum, malah ia lebih sistematik dan
terancang serta dapat memastikan hak murid dalam kurikulum dan kokurikulum
dipatuhi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan