Ahad, 13 April 2014

KEPIMPINAN BERPRESTASI TINGGI DITEMPATKAN DI SETIAP SEKOLAH

ANJAKAN 5: PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 – KPM
MEMASTIKAN KEPIMPINAN BERPRESTASI TINGGI DITEMPATKAN DI SETIAP SEKOLAH.

MENGAPAKAH PERLU?.

Kualiti pengetua/guru besar merupakan faktor berasaskan sekolah yang kedua terpenting dalam menentukan keberhasilan murid.
Kajian antarabangsa tentang kepimpinan sekolah menunjukkan bahawa pengetua/guru besar yang cemerlang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional bukannya kepimpinan pentadbiran

Guru Besar yang memberi tumpuan kepada kepimpinan instruksional dapat meningkatkan keberhasilan murid sebanyak 20%.

KRITERIA PEMILIHAN PENGETUA/GURU BESAR YANG DIAMALKAN PADA HARI INI.
Sebahagian pengetua/guru besar dipilih berdasarkan tempoh perkhidmatan dan bukannya kecekapan kepimpinan.

55% daripada semua pengetua/guru besar yang ada pada hari ini tidak pernah mengikuti latihan persediaan atau induksi sebelum atau semasa mereka berada dalam tempoh tiga tahun pertama sebagai pengetua/guru besar. Oleh itu mereka kurang bersedia

APAKAH BENTUK KEJAYAAN?

Setiap sekolah akan mempunyai pengetua/guru besar berprestasi tinggi yang sentiasa gigih dalam matlamatnya untuk meningkatkan  keberhasilan murid, dari segi akademik dan bukan akademik.

Pengetua/guru besar cemerlang akan diberi insentif untuk berkhidmat di sekolah berprestasi rendah, dan akan berperanan sebagai mentor dalam komuniti yang lebih luas.

Asas kepimpinan di setiap sekolah akan diperkukuh, iaitu dengan membangunkan dan menjadikan guru penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia sebagai pemimpin instruksional.

KRITERIA PEMILIHAN PENGETUA/GURU BESAR MULAI TAHUN 2013

Kementerian akan menukarkan kriteria pemilihan pengetua/guru besar dari kriteria pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada kriteria yang memfokuskan kecekapan kepimpinan yang ditunjukkan.

Setiap pengetua/guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki (IAB) sebelum boleh dilantik sebagai pengetua/guru besar.

Umur pengetua/guru besar lebih muda.

Penetapan syarat ini dijangka menyebabkan purata umur pengetua/guru besar menurun, dan membolehkan mereka berkhidmat bagi tempoh yang lebih lama.

PENGGANTIAN KEKOSONGAN JAWATAN  PENGETUA/GURU BESAR.

Kementerian juga akan memperkenalkan proses perancangan penggantian yang mengenal pasti dan melatih individu berpotensi tinggi bagi memastikan terdapat kelompok calon yang bersedia untuk berkhidmat apabila dipanggil sebaik sahaja terdapat kekosongan jawatan.

PELUASAN KE JAWATAN LAIN.

Setelah mekanisme ini dilaksanakan, Kementerian akan memperluas fokus perancangan mencakupi guru penolong kanan, ketua bidang dan juga ketua panitia.

PROGRAM PEMENTORAN  BAGI PENGETUA / GURU BESAR MULAI 2013.

Pengetua/guru besar yang bakal dilantik akan mendapat manfaat daripada satu program induksi baharu, yang memerlukan mereka mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua/guru besar yang akan berpindah atau bersara.

Mereka juga akan mengikuti suatu tempoh bimbingan dan pementoran daripada pengetua/guru besar berpengalaman atau School Improvement Partner (SiPartner+) daerah sebaik sahaja mereka memulakan tugas baharu sebagai pengetua/guru besar secara rasmi. .

PEMBANGUNAN PROFESIONALISME BERTERUSAN (CPD)

Peluang mengikuti CPD tidak terhenti pada tahun pertama perkhidmatan sebagai pengetua/guru besar. Malah, CPD ini akan terus menjadi sumber untuk membolehkan setiap pengetua/guru besar memperbaharui tahap profesionalisme masing-masing.

IAB juga akan memastikan peluang CPD yang sama disediakan bagi penolong kanan, ketua bidang dan ketua panitia.

PELUANG KERJAYA

Pengetua/guru besar berprestasi tinggi akan menikmati peluang kemajuan kerjaya yang lebih pantas. Pemberian insentif akan disemak semula bagi menggalakkan pengetua/guru besar berprestasi tinggi untuk bertugas di kawasan luar bandar dan atau di sekolah berprestasi rendah.

Pengetua/guru besar yang mengalami kesukaran dalam mencapai standard minimum akan diberikan bimbingan tambahan, manakala pengetua/guru besar yang masih gagal mencapai tahap kualiti minimum walaupun telah diberikan bimbingan tambahan akan ditugaskan semula ke jawatan guru di sekolah lain.

BUDAYA KECEMERLANGAN PROFESSIONALISME

Aspirasi bagi pemimpin sekolah adalah untuk membina budaya kecemerlangan profesionalisme yang dipimpin rakan sejawat. Pemimpin sekolah membimbing satu sama lain, membangunkan dan menyebarluaskan amalan terbaik, dan sama-sama bertanggungjawab bagi mencapai standard profesional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan