Sabtu, 12 September 2015

PEMAKANAN SIHAT SEMASA JEREBU - dari PORTAL KKM

Pemakanan yang sihat adalah penting semasa musim berjerebu untuk mempertahankan sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan jerebu.

Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah. Air penting untukmeningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak. Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan . Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat.
  1. Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga 8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi. 
  2. Minum Jus serta makan buah – buahan dan sayur- sayuran yang kaya dengan antioksida, vitamin, mineral dan serat bagi membantu melawan penyakit. 
  3. Elakkan pengambilan minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol yang boleh menyebabkan pembuangan air kencing yang kerap dan boleh menyebabkan dehidrasi. 
  4. Pengambilan air suam adalah digalakkan berbanding minuman sejuk /berais kerana tubuh badan akan kehilangan haba dengan cepat yang perlu diganti semula. 
  5. Kurangkan pengambilan makanan yang menyebabkan kehausan dan dehidrasi seperti makanan masin atau bergaram. 
  6. Makan pelbagai makanan mengikut keperluan untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan. 
  7. Pastikan semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih dimasak dan disimpan dalam keadaan yang sesuai sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan. 
  8. Kekal aktif di tempat yang sesuai (Dalam bangunan / rumah) tetapi elakkan atau kurangkan aktiviti di luar rumah. Elakkan merokok kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara. 
  9. Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan